Sunday, April 5, 2009
Setiap yang Hidup Pasti akan Mati
Hari Jumaat 3 April, 2009 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1430Hijrah. Pada hari itu telah pergi seorang saudaraku menemui Sang Pencipta.
Ruhnya kini sedang meneruskan perjalanan ke alam abadi. Benar, jasadnya talah dikebumikan, dia telah tiada di alam maya ini. Telah tamat tugasnya di alam maya yang penuh ujian ini.
Seorang manusia harus melalui sebuah perjalanan yang panjang. Bermula di alam ruh, kemudian kita di kandungkan ibu di alam rahim, seterusnya lahir ke dunia untuk diuji. Kita dipinjamkan dengan tubuh badan, jantung berdegup, darah mengalir, tangan kaki bergerak, mata melihat, telinga mendengar dan hati merasa. Kita tidak mempunyai pilihan samada untuk memiliki jantung yang sempurna atau tidak, mata yang berwarna hitam, hijau atau biru, warna kulit yang gelap atau cerah. Itu semua sekadar pinjaman untuk hidup sementara di dunia yang sementara. Sang Pencipta mempunyai hak sepenuhnya untuk menentukan rupa paras dan segala bentuk fizikal kita.
Itu semua tidak penting, kerana itu hanya bahan ujian.
Ruh yang berada di dalam diri itulah diri kita sebenar.
Kita mempunyai ayah dan ibu, kaum keluarga, rakan taulan. Kita membesar dan melalui fasa- fasa kehidupan sebagai bayi, anak kecil, remaja, dewasa dan seterusnya beransur tua. Kita mempunyai tanggungjawab yang berbeza di setiap fasa kehidupan itu.
Namun, sekali lagi adalah menjadi hak mutlak Sang Pencipta untuk menentukan berapa lama kita harus diuji di alam maya ini.
Suatu hari kita akan dipanggil pulang untuk dipertanggunjawabkan tentang apa yang kita lakukan di muka bumi ini.
Apabila tiba masanya ruh itu harus meneruskan perjalanannya, ia pun dipanggil meninggalkan alam dunia.
Maka jasad itu tidak mempunyai fungsi lagi. Jasad itu dikuburkan. Betapa tampan pun wajah itu, betapa indah pun senyuman itu, apabila ruh sudah meninggalkannya tiada apa lagi yang perlu dibanggakan. Ia hanyalah sesusuk tubuh yang harus dimandikan dengan penuh hormat, dipakaikan dengan pakaian yang bersih, disolatkan dan kemudian dibawa ke alam perkuburan untuk selama-lamanya.
Jasad itu akan ditinggalkan di situ, tiada siapa yang akan menemainya. Betapa kasihnya seorang ibu, ayah, isteri, suami atau anak terhadap si mati, mereka lah, orang yang paling menyayangi kita lah yang akan menguburkan kita, dan seterusnya meninggalkan kita di situ.
Kita datang ke dunia ini seorang diri, dan kita harus pergi menghadap Sang Pencipta seorang diri.
Ruh itu akan dipersoalkan di alam barzakh. Suatu hari akan dibangkitkan semula, berkumpul di padang mahsyar, melalui hari pengadilan oleh Sang Pencipta Yang Maha Adil, melalui titian siratul mustaqim untuk akhirnya menetap di rumah yang abadi.
Soalnya, bagaimanakah rupa bentuk rumah yang abadi itu? Ia bergantung kepada keputusan ujian kita di dunia ini, dan juga rahmat dan kasih sayang Sang Pencipta.
Betapa Pengasihnya Sang Pencipta, kita diberikan kemampuan untuk memilih bentuk rumah kita di alam abadi itu. Sang Pencipta telah menghantar kekasihNya untuk memberi tunjuk ajar bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita dapat kembali ke rumah yang indah di alam yang abadi kelak.
Terpulanglah kepada kita semua untuk menentukan jalan mana yang kita mahu.
Akhirnya di tangan kitalah letaknya segala usaha dan amalan sementara kita masih lagi diberi peluang untuk mencari bekalan di alam maya ini.
Perjalanan yang begitu panjang dan begitu jauh, namun penentunya ialah ketika ini, di alam maya yang sementara ini, kerana selepas ini kita tidak mempunyai tugas dan tanggung jawab lagi selain hanya menunggu dan menunggu apakah balasan untuk kita nanti.
Seorang penulis mengatakan,
"Kita adalah makhluk spiritual yang diberikan pengalaman fizikal untuk diuiji."
Ini bererti, ruh itulah yang melalui setiap fasa kehidupan, ia singgah sebentar di alam sementara ini untuk diuji, siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.
Al Fatihah untuk saudaraku yang baru kembali, Mohd Asmady Zakaria.
Semuga ruhnya berada di dalam rahmat Allah, semuga dikurniakan keampunan oleh Yang Maha Pengampun.
Kita semua juga akan menyusul nanti. Maka, ingin kuperingatkan kepada diriku sendiri dan saudara-saudaraku di luar sana, apakah segala usaha kita sudah memadai untuk kembali kepadaNya nanti?
Ya Rahman...Ya Rahim..
Kasihanilah kami..
Ya Hadi..
Tunjukkanlah kami jalan yang benar...
Ya Ghaffar..
Matikan kami dalam keampunan..
Amiin..Ya Arhamar rahimiin..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment