Tuesday, April 21, 2009

Marilah Menjaga Lisan



" Dia tu kan....bla..bla.."
" Ye ke?...tak sangka betul.."

Salah satu kelemahan kita sebagai manusia ialah kita mudah terpengaruh dengan kisah-kisah yang negatif mengenai orang lain. Adakalanya kisah yang didengar belum tentu kebenarannya tetapi telah dipanjangkan kepada orang lain, dan orang itu akan meneruskannya kepada orang-orang lain pula. Ada pula situasi yang mana kisah itu ditokok tambah supaya lebih menarik didengar.
Di sinilah kita perlu sentiasa ingat, syaitan memang sangat gembira dengan situasi sebegini. Apatah lagi apabila kisah-kisah yang diceritakan itu akan dapat menjauhkan kita dari melakukan kebaikan dan lebih baik lagi apabila ianya akan dapat memutuskan silaturrahim antara dua pihak.
" Oh...begitu rupanya..saya tak mahu lagi berhubung dengan dia .."
" Ustaz tu sesat rupanya...saya akan berhenti menghadiri kelas pengajiannya..."

Memang benar, adakalanya orang yang disangka soleh rupanya hanya berpura-pura dan mempunyai hasrat yang tersembunyi. Perkara seperti ini sememangnya biasa berlaku.
Namun persoalannya di sini ialah sebelum kita menjatuhkan 'hukuman' terhadap sesaorang individu atau sebuah perkumpulan, adakah kita telah melakukan penyiasatan yang adil?
Sejauh manakah kita telah memastikan bahawa apa yang disampaikan itu bukanlah merupakan fitnah yang disengajakan? Apabila fikiran telah terpengaruh, lidah pula dengan begitu ringannya menyampaikan pula kisah itu kepada orang lain. Tanpa kita sedari adakalanya kita menjadi penyambung kepada fitnah itu, kita telah memanjangkan tuduhan itu.
Saya pernah diberikan satu panduan oleh sesaorang yang amat saya hormati berkenaan pertuturan kita. Beliau mengatakan sebelum kita berkata sesuatu, jawablah tiga soalan berikut:

Adakah perkara itu benar?( Is it true?)

Adakah perkara itu baik? ( Is it kind?)

Adakah perkara itu perlu? ( Is it necessary?)

Ada banyak perkara yang kita perkatakan yang tidak dapat melepasi tiga soalan di atas.
Kadangkala ianya belum tentu benar, tetapi kita tetap mahu mengatakannya. Adakalanya ianya benar, tetapi tidak baik pula untuk diperkatakan. Ada juga perkara yang benar, baik, tetapi tidak ada keperluan untuk kita mengatakannnya.

Jika apa yang diperkatakan itu tidak benar, kita telah menjadi seorang pendusta.
Jika apa yang diperkatakan itu benar tetapi tidak baik, mungkin kita menjadi pengumpat.
Jika apa yang diperkatakan itu benar, baik, tetapi tidak perlu, maka ianya sia-sia, bualan kosong yang tidak bermakna.

Rasulullah SAW yang sangat kita cintai telah memberi panduan yang sangat mudah dalam menjaga lisan.
Berkatalah yang baik ataupun diam.
Satu panduan yang mudah sebenarnya tetapi agak berat untuk dilaksanakan dalam situasi-situasi tertentu.

Kita harus sentiasa berhati-hati dalam menggunakan lisan. Perkataan yang kita tuturkan mungkin menguris hati, bahkan lebih parah lagi jika perkataan itu berbentuk tuduhan yang berat yang disampaikan tanpa sebarang bukti.
Berdiam diri adalah lebih selamat dalam menghadapi percakapan mengenai sesuatu yang tak pasti. Sekiranya kita bukan berada di mahkamah dan sedang menjadi saksi kepada suatu kes jenayah adalah lebih baik kita berdiam diri dari menyambung percakapan buruk mengenai orang lain. Selamatkan lah diri dari terjebak dengan dosa.

Kisah menyayat hati tentang fitnah terhadap Aisyah r.a , isteri baginda Rasulullah SAW patut menjadi tauladan bagaimana seorang yang suci itu menjadi mangsa fitnah apabila terdapat manusia yang gagal menjaga lisan dan dengan mudah membawa cerita yang buruk tanpa usul periksa.

Kita sebolehnya harus membela saudara kita apabila orang lain memperkatakan perkara yang buruk mengenainya di hadapan kita.
Walaupun mungkin yang diperkatakan itu benar, adalah lebih mulia jika kita berusaha menutup aib saudara kita. Sedangkan Allah Yang Maha Mengetahui sentiasa menutup aib kita meskipun berapa banyak kesalahan telah kita lakukan.
Segala aib-aib kita tidak kelihatan di wajah atau di tubuh kita. Betapa Pengasih dan Penyayangnya Allah kepada kita. Kita sentiasa diberi peluang untuk memperbaiki diri dan bertaubat kepadanya. Segala aib dan dosa itu akan hanya di pamerkan di hari pengadilanNya nanti.

Ya..Allah.. Ya Sami'.. Ya Basir..
Ya..Zhahir..Ya Bathin..
Bimbinglah hati kami
Bimbinglah lisan kami
Ya Ghaffar..Ampuni kami..

Thursday, April 16, 2009

Perjalanan Mengenali DIA - 4

Switzerland is definitely a beautiful country. Subhaanallah...

I still have vivid memories of the unforgettable journey from Switzerland to Italy.
Two and a half hours of journey across the Swiss Alps where we had to drive into tunnels and above bridges. Tunnels after tunnels, all 37 of them, the longest one was 17km long!
But each time we came out of a tunnel, we will always be greeted with awesome, breathtaking views of the mountains, lakes, waterfall, streams, pine trees...it brought tears to my eyes.
Perfect.
Flawless.
The Almighty is showing off His Greatness.

My brother was doing the driving and I was doing the looking and photographing.
But after a while, I simply switch off my camera and stop taking pictures..I gave up..I was too overwhelmed...and I know my camera just can't capture it...I can never do justice to the beautiful scenery. I sat quietly enjoying the great show from the Almighty.

We intend to stop along the highway to capture the scenery but some of the most beautiful scenery I saw along the highway was at a place where stopping the car is prohibited.
The scene was a mixture of blue snow-capped mountain in the background then green mountains with pine trees, refreshing waterfall at the slope, and then out of nowhere you see the water flows into a crystal clear stream along the highway just behind the road railing.

Sometimes you see lakes on your left, green hills on your right and mountains right in front.
Sometimes you just don't know where to look!
Subhaanallah...

Tuesday, April 14, 2009

Biarpun Kecil

Seorang anak kecil mencuci kasut di tepi jalan mengucapkan salam kepada seorang pemuda dengan ucapan "Assalamualaikum". Pemuda tersebut, seorang bekas paderi dari Eropah begitu tersentuh hatinya dengan kesederhanaan dan ketulusan ucapan itu. Peristiwa itu menjadi bibit permulaan yang telah membawa beliau ke sebuah perjalanan panjang yang berakhir dengan pengislamannya.

Pemuda itu, Idris Tawfiq(foto kiri), kini adalah seorang pendakwah terkenal yang menyebarkan Islam ke seluruh dunia.
Merenung kembali peristiwa bertemu anak kecil di Mesir yang memberi salam kepadanya, beliau mengatakan, "Anak kecil itu pasti terkejut apabila bertemu Allah nanti...di samping segala amalan baik dan buruk yang akan dibacakan kepadanya nanti, dia akan mengetahui bagaimana ucapan tulusnya itu telah menjadi pemangkin yang membawa ramai orang kepada Islam."

Sebuah ucapan yang sepontan namun begitu tulus dari hati berupaya menyentuh hati yang lain. Amalan yang kecil, tetapi membawa kesan berganda. Ucapan yang membawa ganjaran yang berterusan, terus menerus...
Setiap kali Idris Tawfiq menyampaikan dakwahnya, membuka hati-hati yang di dalam kegelapan kepada cahaya Islam, setiap kali itulah anak kecil itu mendapat bahagian pahalanya. Begitulah maksudnya apabila dikatakan bahawa apabila sesaorang itu mendapat hidayah hasil 'usaha' kita, ianya lebih baik dari seluruh dunia dan isinya.

Sebuah tindakan, perlakuan, tuturkata, pandangan mata bahkan ekspresi wajah yang kita pamerkan terhadap sesaorang tidak boleh diambil ringan.
Barangkali ianya boleh menjadi titik permulaan untuk sesuatu yang begitu bermakna samada baik atau buruk.
Barangkali ianya membawa kesan berpanjangan yang mana kita akan sentiasa menerima sahamnya di sepanjang hayat.
Beruntunglah jika saham itu adalah berbentuk pahala, namun alangkah ruginya jika saham itu berbentuk dosa.

Pada suatu hari apabila mulut kita ditutup tidak diizinkan berbicara lagi oleh Yang Maha Adil, pada ketika itu akan dapat kita saksikan satu demi satu, apakah yang telah kita lakukan dan kesannnya terhadap diri kita dan orang lain.
Ketika itu akan dikira semuanya, pahala dan dosa, ganjaran dan balasan.

Biarpun kecil, setiap amalan akan dikira dan dibalas. Penghakiman oleh Yang Maha Adil bersaksikan anggota tubuh kita sendiri.
Biarpun kecil, adakalanya amalan itulah yang akan menyelamatkan kita dari azab yang pedih.
Janganlah malu melakukan perkara kecil kerana bimbang tidak dihargai orang.
Jangan dipandang ringan amalan yang kecil kerana yang penting ialah ketulusan hati melakukannya.
Mulakan lah dengan yang kecil, asalkan ianya membawa ke syurga.

Friday, April 10, 2009

Berhati-hati...

Artikel ini pernah diterbitkan di Majalah Nur. Diterbitkan semula di sini dengan izin penulisnya.

Berhati-hati bila menyampah...

Oleh: Sofiyah Rasin

“Ishh! Menyampah tengok muka dia ”
“Menyampah betul buat kerja ni....”

Perasaan menyampah sering melanda kita dan perasaan ini memang tidak selesa. Sukar juga untuk menceritakan rasa ini. Macam nampak sampah, malah lebih teruk dari itu. Meluat, benci, marah, rasa macam nak muntah....berbagai rasa tak selesa yang membentuk rasa menyampah. Nampak muka orang yang kita menyampah, perasaan jadi terganggu. Melakukan kerja yang kita tidak suka, perasaan terganggu. Ia boleh membunuh mood. Bila kita rasa menyampah, yang lebih susah adalah diri sendiri sedangkan orang yang kita menyampah terus hidup seperti biasa. Kerja yang kita tidak suka juga tidak akan selesai. Lebih banyak rugi daripada untungnya. Jadi, jika dilanda rasa menyampah, tindakan bijak ialah merawat rasa menyampah itu, jangan sampai ia membunuh keceriaan. Membiarkannya memusnahkan keceriaan umpama membawa membawa atau mengusung orang atau beban kerja tersebut dalam hati dan fikiran. Ia akan mengikut ikut kita ke mana-mana.

Sampah di minda dan hati
Untuk memudahkan kita menanggapi masalah ini, saya suka mengaitkan rasa menyampah ini dengan sampah. Sampah ialah benda yang telah kehilangan fungsi asal. Apa yang kita panggil ‘sampah’ hari ini, suatu masa dahulu kita panggil dengan berbagai nama dan kita menyimpannya atas berbagai kegunaan khusus. Kertas pembalut makanan pernah berjasa melindungi makanan yang kita makan dari kekotoran supaya makanan tersebut tidak membahayakan kesihatan kita. Setelah habis fungsinya, ia pun bernama sampah. Suatu masa dahulu apa yang kita panggil ‘bunga’ menjadi perhiasan yang menyejukkan mata memandang tetapi akhirnya apabila telah layu ia dibuang dan dipanggil sampah. Dalam perkataan lain, sampah adalah apa yang ‘tidak berguna’, ‘kotor’ atau ‘menyemakkan’ di mata kita. Tempat yang layak untuk sampah ialah dalam tong sampah.
Apabila kita menyampah kepada seseorang, sedar atau tidak, minda dan hati kita melabelkan orang itu sebagai ‘kotor’, ‘tak berguna atau ‘menyemak’. Apabila dia dianggap tak berguna, maka kita pun memasukkan dia dalam ‘tong sampah’ minda dan hati. semakin ramai orang atau perkara yang kita menyampah, hakikatnya kita menjadikan minda dan hati kita sebagai tong sampah besar! Andai dibiarkan minda dan hati akan ‘reput’ dan busuk sehingga menutup atau menenggelamkan perasaan positif yang lain. Sebab itu, bila kita menyampah terhadap seseorang, kita buta kepada kebaikannya dan jasanya dilupakan begitu saja!
Mengapa kita biarkan rasa ini dalam minda dan hati sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Pencipta segalanya mencipta setiap sesuatu ada sebab dan peranan tertentu. Dia tidak menciptakan sesuatu sia-sia!

Letakkan di tempat yang wajar
Ada pepatah yang mengatakan dirt are not dirt – only matter in the wrong place. Suatu yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak berguna’ boleh menjadi bermenafaat dan berfaedah andai di letakkan diletakkan pada tempatnya. Najis yang menjijikkan sekalipun, andai diletakkan ditanah pertanian menjadi baja menyuburkan hasil tanaman.
Dalam soal persahabatan dan perhubungan, adakalanya kita paling banyak belajar tentang hakikat kehidupan dari orang yang paling kita menyampah. Ingat lagi semasa kanak-kanak betapa menyampahnya kita apabila dileter oleh ibu dan ayah kerana melakukan kesalahan? Renung kembali denda yang dikenakan oleh guru apabila kita melakukan kesilapan di sekolah. Kenang kembali menyampahnya kita apabila mula-mula belajar mengikat tali kasut ke sekolah sehingga ada di antara kita menyerahkan tugas mengikat tali kasut kepada ibu yang selalu ‘berleter’. Adakalanya rasa menyampah melanda apabila rasa terkongkong dengan peraturan dan hukum agama. Bukankah semua itu membawa kesan baik kepada siapa kita hari ini?
Begitulah apa yang kita menyampah hari ini mungkin adalah ‘baja’ yang akan menjadikan kita manusia yang lebih baik dan lebih sabar untuk menghadapi masa depan. Setiap kali rasa menyampah, bayangkan dalam minda dan hati bagaimana orang berkenaan atau pekerjaan itu menyumbang kepada masa depan kita. Masa depan yang bukan sahaja di hari tua, malah masa depan yang lebih jauh iaitu kehidupan selepas mati... di akhirat yang kekal abadi.

Kenapa menyampah?
Renungkan siapakah orang yang kita menyampah melihatnya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap orang ini? Renungkan juga apakah perkara-perkara yang kita menyampah melakukannya. Perhatikan dengan jujur, adakah orang lain juga menyampah terhadap pekerjaan ini? Adakah sebab yang wajar untuk kita menyampah melihatnya?
Kadang-kadang kita menyampah semata-mata kerana tidak suka caranya bercakap, tak suka dengan caranya berpakaian, tak suka dengan apa yang kita anggap sebagai gaya ‘mengada-ngada’nya. Adakah kerana dia pernah ‘merebut’ orang yang kita minati? Atau kerana dia tidak melayan kita tetapi melayan orang lain? Malah adakalanya kita tidak tahu sebab kenapa kita menyampah kepadanya. Entah-entah kita irihati dengan apa yang dimilikinya!
Berhati-hatilah kerana mungkin dia adalah orang yang dihantar oleh Allah untuk membawa banyak kebaikan dalam hidup kita. Entah-entah dialah orang yang paling mengambil berat tentang kita tetapi kita melihat dan melayannya hanya sebagai ‘sampah’ dek kerana rasa menyampah yang melulu... Ketika zaman perjuangan awal Rasulullah membawa Islam yang menjadi rahmat untuk seluruh alam, orang-orang yang sombong dan bongkak sangat menyampah melihatnya.
Berhati-hatilah apabila menyampah terhadap suatu pekerjaan kerana siapa tahu, pekerjaan itulah yang menjadi punca kejayaan hidup kita. Ketika Rasul-rasul menyeru manusia supaya meyembah Allah, ramai yang menyampah sedangkan itulah amalan yang menyelamatkan mereka dari siksaan dunia dan akhirat.

Manusia sentiasa perlu memerlukan orang lain
Tidak ada suatu pun yang dijadikan oleh Allah sia-sia.. Allah yang Maha Penyayang dan Maha Mengetahui bermaksud baik apabila memberikan kita sahabat, keluarga, rakan kerja, jiran dan siapa jua yang berkaitan dengan hidup kita. Sebagai makhluk, apa pun kelebihan dan kepandaian yang kita miliki, sehebat mana pun diri kita, kita tetap perlukan orang lain. Kita sebagai makhluk diciptakan tidak sempurna dan perlukan orang lain untuk melengkapkan kekurangan yang ada.
Yang sempurna dan tak perlukan apa-apa dari pihak lain hanya Allah. Manusia boleh saja dipandang ‘kotor’, ‘tak berguna’ dan ‘menyemak’ dalam pandangan Allah. Manusia sentiasa kotor dengan dosa, tak bertanggungjawab dalam menunaikan tugas khalifah dan hamba di muka bumi dan ‘menyemakkan’ muka bumi dengan segala kerenahnya, namun DIA yang Maha Agung tetap mengiktiraf manusia sebagai makhluk paling mulia. DIA tetap melimpahkan keampunan yang tak bertepi. Dia terus memberikan amanah dan kekuatan kepada manusia untuk terus menguruskan muka bumi ini. Dia terus memandang manusia dengan pandangan Ar Rahman dan Ar Rahim – kasih sayang tanpa syarat dari Tuhan yang Maha Agung untuk makhluk yang serba hina dan lemah.

Hadiahkan Doa Dengan Penuh Kasih Sayang
Seperti perasaan negatif yang lain, memang bukan mudah untuk mengikis rasa menyampah dalam sekelip mata. Bergantunglah kepada Allah. Dia pernah menciptakan kita dari tiada kepada ada. Dia juga yang menciptakan hati yang merasa dan akal yang berfikir. Maka semudah itu jugalah Dia membantu kita menangani rasa menyampah ini.
Berdoalah untuk diri sendiri supaya perasaan kita sentiasa terpelihara. Doakan juga orang yang kita menyampah dengan penuh kejujuran. Adakalanya dalam kita mendoakan orang lain pun, tanpa sedar kita masih membawa perasaan menyampah tersebut. Contohnya, kita mendoakan “Ya Allah, lembutkanlah hatinya...” secara tak sedar secara muktamad kita melihatnya sebagai seorang yang keras hati dan lupa ada kemungkinan yang keras hati sebenarnya adalah diri kita sendiri. Saya tidak bermaksud untuk mengatakan doa tersebut salah, tetapi sekadar untuk renungan betapa dalam doa yang paling indah pun kita masih terpenjara dalam persepsi yang negatif tentang diri orang lain. “Ya Allah, semoga dia akan berubah...” adalah doa yang baik dan indah untuk orang lain. Namun secara halus, ia menggambarkan persepsi bahawa orang yang didoakan itu perlu berubah sehingga si tukang doa mungkin terlupa bahawa dirinya lebih perlu berubah.
Berdoalah dengan penuh rendah hati, penuh kasih sayang dan kesenian, untuk diri sendiri dan juga untuk orang lain. Doa yang jujur, penuh kerendahan hati dan kasih sayang akan sampai ke hati orang lain seperti gelombang radio yang terpancar melalui ruang udara ke setiap radio yang terpasang. Dengan izin Allah, akan tumbuh rasa keserasian antara hati yang terikat dengan kasih sayang kerana Allah.

Semoga dengan adanya hubungan hati melalui hadiah doa, suasana pergaulan kita akan lebih indah dan harmoni – bersih dari rasa menyampah antara satu sama lain. Apabila kita berada di persekitaran yang harmoni, apa juga pekerjaan yang kita lakukan, dapat dilakukan dengan ceria tanpa rasa menyampah.

Sunday, April 5, 2009

Setiap yang Hidup Pasti akan Mati


Hari Jumaat 3 April, 2009 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1430Hijrah. Pada hari itu telah pergi seorang saudaraku menemui Sang Pencipta.
Ruhnya kini sedang meneruskan perjalanan ke alam abadi. Benar, jasadnya talah dikebumikan, dia telah tiada di alam maya ini. Telah tamat tugasnya di alam maya yang penuh ujian ini.

Seorang manusia harus melalui sebuah perjalanan yang panjang. Bermula di alam ruh, kemudian kita di kandungkan ibu di alam rahim, seterusnya lahir ke dunia untuk diuji. Kita dipinjamkan dengan tubuh badan, jantung berdegup, darah mengalir, tangan kaki bergerak, mata melihat, telinga mendengar dan hati merasa. Kita tidak mempunyai pilihan samada untuk memiliki jantung yang sempurna atau tidak, mata yang berwarna hitam, hijau atau biru, warna kulit yang gelap atau cerah. Itu semua sekadar pinjaman untuk hidup sementara di dunia yang sementara. Sang Pencipta mempunyai hak sepenuhnya untuk menentukan rupa paras dan segala bentuk fizikal kita.
Itu semua tidak penting, kerana itu hanya bahan ujian.
Ruh yang berada di dalam diri itulah diri kita sebenar.

Kita mempunyai ayah dan ibu, kaum keluarga, rakan taulan. Kita membesar dan melalui fasa- fasa kehidupan sebagai bayi, anak kecil, remaja, dewasa dan seterusnya beransur tua. Kita mempunyai tanggungjawab yang berbeza di setiap fasa kehidupan itu.
Namun, sekali lagi adalah menjadi hak mutlak Sang Pencipta untuk menentukan berapa lama kita harus diuji di alam maya ini.
Suatu hari kita akan dipanggil pulang untuk dipertanggunjawabkan tentang apa yang kita lakukan di muka bumi ini.
Apabila tiba masanya ruh itu harus meneruskan perjalanannya, ia pun dipanggil meninggalkan alam dunia.
Maka jasad itu tidak mempunyai fungsi lagi. Jasad itu dikuburkan. Betapa tampan pun wajah itu, betapa indah pun senyuman itu, apabila ruh sudah meninggalkannya tiada apa lagi yang perlu dibanggakan. Ia hanyalah sesusuk tubuh yang harus dimandikan dengan penuh hormat, dipakaikan dengan pakaian yang bersih, disolatkan dan kemudian dibawa ke alam perkuburan untuk selama-lamanya.
Jasad itu akan ditinggalkan di situ, tiada siapa yang akan menemainya. Betapa kasihnya seorang ibu, ayah, isteri, suami atau anak terhadap si mati, mereka lah, orang yang paling menyayangi kita lah yang akan menguburkan kita, dan seterusnya meninggalkan kita di situ.
Kita datang ke dunia ini seorang diri, dan kita harus pergi menghadap Sang Pencipta seorang diri.
Ruh itu akan dipersoalkan di alam barzakh. Suatu hari akan dibangkitkan semula, berkumpul di padang mahsyar, melalui hari pengadilan oleh Sang Pencipta Yang Maha Adil, melalui titian siratul mustaqim untuk akhirnya menetap di rumah yang abadi.
Soalnya, bagaimanakah rupa bentuk rumah yang abadi itu? Ia bergantung kepada keputusan ujian kita di dunia ini, dan juga rahmat dan kasih sayang Sang Pencipta.
Betapa Pengasihnya Sang Pencipta, kita diberikan kemampuan untuk memilih bentuk rumah kita di alam abadi itu. Sang Pencipta telah menghantar kekasihNya untuk memberi tunjuk ajar bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita dapat kembali ke rumah yang indah di alam yang abadi kelak.
Terpulanglah kepada kita semua untuk menentukan jalan mana yang kita mahu.
Akhirnya di tangan kitalah letaknya segala usaha dan amalan sementara kita masih lagi diberi peluang untuk mencari bekalan di alam maya ini.

Perjalanan yang begitu panjang dan begitu jauh, namun penentunya ialah ketika ini, di alam maya yang sementara ini, kerana selepas ini kita tidak mempunyai tugas dan tanggung jawab lagi selain hanya menunggu dan menunggu apakah balasan untuk kita nanti.

Seorang penulis mengatakan,
"Kita adalah makhluk spiritual yang diberikan pengalaman fizikal untuk diuiji."
Ini bererti, ruh itulah yang melalui setiap fasa kehidupan, ia singgah sebentar di alam sementara ini untuk diuji, siapakah diantara kita yang terbaik amalannya.

Al Fatihah untuk saudaraku yang baru kembali, Mohd Asmady Zakaria.
Semuga ruhnya berada di dalam rahmat Allah, semuga dikurniakan keampunan oleh Yang Maha Pengampun.
Kita semua juga akan menyusul nanti. Maka, ingin kuperingatkan kepada diriku sendiri dan saudara-saudaraku di luar sana, apakah segala usaha kita sudah memadai untuk kembali kepadaNya nanti?

Ya Rahman...Ya Rahim..
Kasihanilah kami..
Ya Hadi..
Tunjukkanlah kami jalan yang benar...
Ya Ghaffar..
Matikan kami dalam keampunan..
Amiin..Ya Arhamar rahimiin..