Tuesday, April 21, 2009

Marilah Menjaga Lisan



" Dia tu kan....bla..bla.."
" Ye ke?...tak sangka betul.."

Salah satu kelemahan kita sebagai manusia ialah kita mudah terpengaruh dengan kisah-kisah yang negatif mengenai orang lain. Adakalanya kisah yang didengar belum tentu kebenarannya tetapi telah dipanjangkan kepada orang lain, dan orang itu akan meneruskannya kepada orang-orang lain pula. Ada pula situasi yang mana kisah itu ditokok tambah supaya lebih menarik didengar.
Di sinilah kita perlu sentiasa ingat, syaitan memang sangat gembira dengan situasi sebegini. Apatah lagi apabila kisah-kisah yang diceritakan itu akan dapat menjauhkan kita dari melakukan kebaikan dan lebih baik lagi apabila ianya akan dapat memutuskan silaturrahim antara dua pihak.
" Oh...begitu rupanya..saya tak mahu lagi berhubung dengan dia .."
" Ustaz tu sesat rupanya...saya akan berhenti menghadiri kelas pengajiannya..."

Memang benar, adakalanya orang yang disangka soleh rupanya hanya berpura-pura dan mempunyai hasrat yang tersembunyi. Perkara seperti ini sememangnya biasa berlaku.
Namun persoalannya di sini ialah sebelum kita menjatuhkan 'hukuman' terhadap sesaorang individu atau sebuah perkumpulan, adakah kita telah melakukan penyiasatan yang adil?
Sejauh manakah kita telah memastikan bahawa apa yang disampaikan itu bukanlah merupakan fitnah yang disengajakan? Apabila fikiran telah terpengaruh, lidah pula dengan begitu ringannya menyampaikan pula kisah itu kepada orang lain. Tanpa kita sedari adakalanya kita menjadi penyambung kepada fitnah itu, kita telah memanjangkan tuduhan itu.
Saya pernah diberikan satu panduan oleh sesaorang yang amat saya hormati berkenaan pertuturan kita. Beliau mengatakan sebelum kita berkata sesuatu, jawablah tiga soalan berikut:

Adakah perkara itu benar?( Is it true?)

Adakah perkara itu baik? ( Is it kind?)

Adakah perkara itu perlu? ( Is it necessary?)

Ada banyak perkara yang kita perkatakan yang tidak dapat melepasi tiga soalan di atas.
Kadangkala ianya belum tentu benar, tetapi kita tetap mahu mengatakannya. Adakalanya ianya benar, tetapi tidak baik pula untuk diperkatakan. Ada juga perkara yang benar, baik, tetapi tidak ada keperluan untuk kita mengatakannnya.

Jika apa yang diperkatakan itu tidak benar, kita telah menjadi seorang pendusta.
Jika apa yang diperkatakan itu benar tetapi tidak baik, mungkin kita menjadi pengumpat.
Jika apa yang diperkatakan itu benar, baik, tetapi tidak perlu, maka ianya sia-sia, bualan kosong yang tidak bermakna.

Rasulullah SAW yang sangat kita cintai telah memberi panduan yang sangat mudah dalam menjaga lisan.
Berkatalah yang baik ataupun diam.
Satu panduan yang mudah sebenarnya tetapi agak berat untuk dilaksanakan dalam situasi-situasi tertentu.

Kita harus sentiasa berhati-hati dalam menggunakan lisan. Perkataan yang kita tuturkan mungkin menguris hati, bahkan lebih parah lagi jika perkataan itu berbentuk tuduhan yang berat yang disampaikan tanpa sebarang bukti.
Berdiam diri adalah lebih selamat dalam menghadapi percakapan mengenai sesuatu yang tak pasti. Sekiranya kita bukan berada di mahkamah dan sedang menjadi saksi kepada suatu kes jenayah adalah lebih baik kita berdiam diri dari menyambung percakapan buruk mengenai orang lain. Selamatkan lah diri dari terjebak dengan dosa.

Kisah menyayat hati tentang fitnah terhadap Aisyah r.a , isteri baginda Rasulullah SAW patut menjadi tauladan bagaimana seorang yang suci itu menjadi mangsa fitnah apabila terdapat manusia yang gagal menjaga lisan dan dengan mudah membawa cerita yang buruk tanpa usul periksa.

Kita sebolehnya harus membela saudara kita apabila orang lain memperkatakan perkara yang buruk mengenainya di hadapan kita.
Walaupun mungkin yang diperkatakan itu benar, adalah lebih mulia jika kita berusaha menutup aib saudara kita. Sedangkan Allah Yang Maha Mengetahui sentiasa menutup aib kita meskipun berapa banyak kesalahan telah kita lakukan.
Segala aib-aib kita tidak kelihatan di wajah atau di tubuh kita. Betapa Pengasih dan Penyayangnya Allah kepada kita. Kita sentiasa diberi peluang untuk memperbaiki diri dan bertaubat kepadanya. Segala aib dan dosa itu akan hanya di pamerkan di hari pengadilanNya nanti.

Ya..Allah.. Ya Sami'.. Ya Basir..
Ya..Zhahir..Ya Bathin..
Bimbinglah hati kami
Bimbinglah lisan kami
Ya Ghaffar..Ampuni kami..

No comments: