Wednesday, August 5, 2009

Ada Apa Dengan 'Reunion' ?


( Tulisan ini ditujukan khas kepada sahabat-sahabatku dari tingkatan 5B3 di sebuah sekolah di selatan tanah air )

'Reunion' atau perjumpaan semula telah menjadi satu trend yang amat menarik terutamanya sejak adanya kemudahan teknologi maklumat yang semakin canggih.
Perjumpaan semula dengan rakan-rakan lama samada rakan sekolah rendah, sekolah menengah ataupun universiti biasanya amat menggembirakan terutamanya apabila ianya pertemuan pertama kali selepas berpuluh-puluh tahun terpisah.

Banyak peristiwa pahit dan manis yang kita lalui sepanjang perjalanan menuju alam dewasa. Peristiwa yang begitu menyakitkan di masa lalu boleh menjadi bahan gurauan selepas beberapa tahun. Adakalanya suatu peristiwa yang berlaku itu amat mengguris hati hingga menyebabkan kita ingin terus melupakannya.Walaubagaimanapun, sejarah hidup kita samada yang indah atau sebaliknya itulah yang menjadikan kita seorang yang unik. Itulah diri kita yang sebenar. Kesediaan untuk berlapang dada adalah satu tanda kematangan jiwa kerana kita mampu memaafkan pihak yang kita rasakan telah menyakiti kita, hingga akhirnya peristiwa sedih itu menjadi lucu apabila dikenang semula.
Kata orang, "You grow up the day you are able to laugh at yourself"
Sebenarnya peristiwa-peristiwa seperti itulah yang akan mengeratkan lagi hubungan persahabatan sesama kita asalkan kita sentiasa mengambil pengajaran yang baik darinya.

Kita tidak boleh mengubah siapa diri kita kerana di dalam perjalanan hidup, ada aspek tertentu yang kita tidak mempunyai pilihan. Kita tidak boleh memilih siapa ibu bapa kita, adik beradik kita dan rakan-rakan sekolah kita. Siapa sahaja yang telah ditentukan Allah akan bersama di dalam hidup kita, mereka itulah yang harus kita kenali dan cuba bertoleransi demi menjalani kehidupan sementara yang menjadi ujian bagi kita. Namun begitu, Allah telah memberikan kita pilihan dalam membuat sesuatu keputusan atau tindakan. Setiap manusia telah diilhamkan untuk melakukan kebaikan atau keburukan dan juga telah diberikan panduan untuk memilih.
Apa yang menentukan kejayaan hidup kita ialah kesungguhan kita untuk memilih dan melakukan yang terbaik dengan mengikut contoh dan panduan yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Di dalam seerah Rasulullah SAW, para sahabat bersama Rasulullah SAW juga dikisahkan pernah bergurau mengenang kembali peristiwa lalu di zaman sebelum Islam dan mereka akan sama-sama tertawa. Selain dari itu para sahabat juga sering bertanya kepada Rasulullah SAW tentang peristiwa yang akan datang iaitu hari pembalasan.
Para sahabat yang tentunya amat bahagia hidup bersama Rasulullah SAW semasa di dunia ini amat berharap untuk bertemu semula di dalam satu 'reunion' di alam abadi nanti. Mereka sering bertanya Rasulullah SAW tentang amalan apakah yang patut mereka lakukan untuk memastikan mereka akan dapat bersama semula dengan Rasulullah SAW di akhirat nanti.

Namun 'reunion' di sana nanti bukanlah suatu peristiwa yang mudah untuk dihadapi. Kita harus melalui satu proses yang amat panjang bermula dengan penantian di alam barzakh, hari dibangkitkan dari kubur, menunggu dan menunggu di padang mahsyar, hari pengadilan dan proses pengiraan amal, dan akhirnya melalui titian yang akan membawa ke destinasi akhir kita.

Buat para sahabatku sekelian, mudah-mudahan kita semua kita akan dapat bertemu semula didalam sebuah 'reunion' yang benar-benar membahagiakan di alam abadi nanti. Di sana tidak perlu kita menyediakan tempat yang selesa, makanan yang lazat, kerana segalanya telah tersedia. Yang penting kita harus memastikan kehidupan yang kita lalui di alam sementara ini akan membawa kita ke jalan yang di redhaiNya.