Sunday, May 3, 2009
Sebuah Pencarian
Hidup yang panjang di dunia ini pastinya sia-sia jika tidak diisi dengan amalan yang soleh.
Amalan yang soleh pastinya sia-sia jika dilakukan tanpa keimanan kepada Pencipta.
Keimanan kepada Pencipta pula bukanlah sesuatu yang boleh diwarisi tanpa usaha dan pencarian untuk sebuah keyakinan.
Samaada melalui proses pembelajaran yang panjang, musibah kehidupan yang berat atau apa cara sekalipun keyakinan harus dicari. Sebuah keyakinan bahawa suatu hari hidup di dunia ini akan berakhir dan akan tiba satu hari penentuan dan pertanggungjawaban terhadap setiap amalan baik dan buruk yang telah terkumpul.
Pencarian kepada sebuah keyakinan hanya akan dapat dipenuhi apabila yang ditemui adalah sebuah kebenaran. Hanya kebenaran yang mampu mendatangkan keyakinan yang mantap.
Jiwa manusia akan sentiasa resah gelisah selagi kebenaran itu belum ditemui.
Itulah yang dijamin oleh Pencipta kita Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Satu-satunya kebenaran yang dibawa oleh utusanNya, seorang manusia agung, kebenaran itulah yang menjamin rasa bahagia, sejahtera dan tenteram... menghilangkan segala kegelisahan.
Namun, perjalanan mencari kebenaran tidak sunyi dari kepayahan dan keperitan, kerana keyakinan terhadap kebenaran itu harus diuji.
Ada yang akan diuji dengan keluarga dan saudara sendiri. Ada yang akan diuji dengan tohmahan dan tuduhan. Bahkan ada yang terancam nyawanya disaat mencari kebenaran.
Jika yang mencari kebenaran itu diuji dengan hebat, bagaimana pula bagi yang membawa kebenaran? Rasulullah SAW, manusia yang paling dipercayai sebelum kerasulannya, telah melalui ketiga-tiga ujian di atas. Keluarga dan saudara yang menentang, tohmahan yang dilemparkan dan nyawanya yang sentiasa dipertaruhkan.
Begitulah hakikat kehidupan di dunia, setiap manusia diuji untuk dinilai siapakah yang terbaik amalannya.
Dalam kehidupan dunia moden yang serba canggih ini, pelbagai pihak cuba menawarkan 'pakej kehidupan yang bahagia'. Inilah dia kebenaran yang akan membawa kebahagiaan. Benarkah kebahagiaan yang ditawarkan atau adakah itu sebuah kehancuran?
Dan ada ketikanya semasa kebenaran itu sudah ditemui, kita harus menghadapi satu lagi tahap iaitu kita berhadapan dengan keraguan yang ditimbulkan oleh pihak lain terhadap kebenaran yang kita temui. Dunia akhir zaman yang penuh dengan fitnah menuntut kita supaya sentiasa berpegang teguh dengan kebenaran yang diyakini. Hanya iman yang tulus mampu menangani setiap dugaan dan bertahan menempuh badai kehidupan. Hanya hati yang jujur mampu mengenal musuh sebenar dalam perjalanan ini. Musuh yang sentiasa berbisik di dalam dada, menimbulkan keraguan dan prasangka.
Apabila hati itu tulus dan jujur dalam mencari kebenaran, Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang akan pasti membimbingnya. Apabila tiada siapa lagi di dunia ini yang harus dipercayai kata-katanya atau tindak tanduknya, kembalilah kepadaNya, mintalah kepadaNya, Dia Yang Maha Memberi Petunjuk akan sentiasa menunjukkan jalanNya.
Carilah kebenaran itu meskipun payah, meskipun pahit, kerana kebenaran akan membebaskan jiwamu.
The truth will set you free.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment