Monday, May 11, 2009

Ubat Hati

Petikan senikata lagu oleh Opick:

Obat hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur'an dan maknanya

Yang kedua solat malam dirikanlah

Yang ketiga berkumpullah dengan orang soleh

Yang keempat perbanyaklah berpuasa

Yang kelima zikir malam perbanyaklah


Salah satunya siapa bisa menjalani

Muga-muga Gusti Allah mencukupi


Hati yang sihat dan bersih akan mampu melihat dan mengenal dengan jelas yang mana benar, yang mana salah. Ia juga akan mendatangkan kekuatan luar biasa untuk menghadapi segala dugaan sepanjang kehidupan.
Untuk mendapatkan hati yang bersih, tidak ada jalan pintas, tidak ada cara lain melainkan melalui cara yang telah disarankan oleh Pencipta hati itu.
Solat malam telah diwajibkan kepada Rasulullah SAW diawal kerasulannya. Selama berada di Mekah, kaum muslimin tidak diizinkan untuk melawan sebarang bentuk gangguan dan ancaman dari kaum musyrikin, mereka hanya diperintahkan untuk bersabar sehinggalah datangnya perintah untuk berhijrah.
Berapa lamakah mereka harus bertahan dan bersabar tanpa melawan? 13 tahun! Maka tidak hairanlah hati mereka menjadi begitu teguh dengan keimanan yang mantap.
Mereka melalui detik-detik yang sukar di siang hari, namun di malam hari mereka bermunajat, berendam airmata di hadapan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Al-Qur'an menjadi bacaan dan sumber hiburan yang memujuk jiwa dan hati yang duka.

Di zaman moden ini adakah mungkin kita menggunakan cara lain untuk mendapatkan kekuatan jiwa dalam menempuh cabaran hidup? Tentu sekali tidak.
Para ulama', orang-orang soleh dan pejuang kebenaran di akhir zaman tetap menggunakan kaedah yang sama.
Sultan Muhammad al-Fateh mencari kekuatan untuk dirinya dan juga tenteranya melalui tahajjud. Beliau diberitakan tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak baligh.
Iman Hassan al Banna juga amat menekankan amalan solat malam, bacaan qur'an, berpuasa..
Pada hari kesyahidan Syeikh Ahmad Yassin, beliau diberitakan telah bangun untuk tahajjud satu jam sebelum waktu subuh dan kemudian menuju ke masjid untuk solat subuh. Itulah rutin hariannya. Tubuhnya begitu lemah secara zahirnya, untuk berjalan pun beliau tidak mampu, namun kekuatan hati dan jiwanya lah yang amat ditakuti oleh musuhnya yang lengkap bersenjata.

Bagi seorang insan biasa yang melalui kehidupan harian apatah lagi bagi yang mengakui ingin berjuang menyambung perjuangan Rasulullah SAW, hanya dengan memiliki hati yang bersih sahajalah ia akan mampu bertahan.
Dan akhirnya pada hari kita dipanggil oleh Pencipta kita untuk kembali kepadaNya, hati itu akan menghadapi ujian terakhir, sakaratul maut.

Kisah di bawah adalah petikan dari buku, Kesaksian Seorang Doktor: Mensucikan hati Melalui Kisah-kisah Nyata, ditulis oleh seorang doktor pakar jantung. Kisah seorang manusia biasa yang melalui akhir kehidupan yang luar biasa.

Doktor Jasim al-Haditsy seorang penasihat kesihatan jantung anak di 'Amir Sulthan Center untuk Penyakit Jantung', Hospital Angkatan Bersenjata Riyadh, mengkisahkan kepadaku,

"Salah seorang rakanku yang boleh dipercaya bercerita kepadaku, bahawa suatu malam ketika ia sedang bertugas di hospital, ada seorang pesakit yang meninggal dunia, maka ia segera memastikan kematian pesakit tersebut, ia melatakkan stetoskop di atas dadanya hingga ia mendengarkan suara, "
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Asyhadu alla ilaha illallah',...

Ia berkata, "Saya rasa azan subuh. Kemudian saya bertanya kepada perawatnya, 'Jam berapa sekarang?' Ia menjawab, 'Jam satu malam".
Saya tahu bahawa ketika itu belum masuk waktu subuh, kemudian saya kembali meletakkan stetoskop di atas dadanya dan saya kembali mendengarkan azan tersebut selengkapnya.

Saya bertanya kepada keluarga orang ini, tentang keadaannya semasa hidup, mereka menjelaskan, 'Ia bekerja sebagai muazzin pada sebuah masjid, biasanya ia datang ke masjid seperempat jam sebelum tiba waktunya atau lebih awal lagi, ia selalu
mengkhatamkan al-Qur'an dalam tiga hari dan sangat menjaga lisannya dari kesalahan."


Begitulah sebuah kisah hati.

Letakkanlah dunia di dalam tanganmu, biarlah Allah sahaja di dalam hatimu.

Subhanallah...
Inilah peringatan besar bagi diriku.

No comments: