Thursday, March 12, 2009

Kekosongan Jiwanya Kini Terisi


Kerapkali apabila saya merasakan kekosongan di dalam hati, saya akan cuba mencari inspirasi melalui membaca. Antara yang menjadi bahan bacaan kegemaran saya ialah kisah-kisah benar tentang bagaimana sesaorang mendapat hidayah dan akhirnya bersyahadah. Kisah-kisah sebegini sangat menyentuh hati dan seringkali menyebabkan airmata saya menitis dan mendatangkan semangat baru.

Petang tadi saya membaca kisah seorang wanita berkulit putih yang asalnya beragama kristian. Banyak perkara yang tidak difahaminya tentang agamanya sendiri.
Berkahwin dengan seorang yang tidak mempercayai tuhan, akhirnya perkahwinannya runtuh setelah berlaku perbalahan dalam isu agama untuk si anak yang masih kecil.
Keluarga terdekatnya sendiri porak peranda dengan pelbagai masalah sosial.
Jiwanya yang menderita bertahun-tahun sentiasa memohon kepada tuhan supaya ditunjukkan jalan yang benar.

Hinggakan pada suatu masa, ketika dia benar-benar dalam kebuntuan, tiba-tiba dia merasakan suatu dorongan untuk 'bersembahyang'.
Dia kemudian membersihkan seluruh badannya seolah-olah hendak bersuci dan kemudian terdorong dengan kuat untuk menutup seluruh anggota tubuhnya termasuk kepalanya.
Kemudian dia mengambil kain yang bersih sebagai alas dan mula berdiri menghadap kesuatu arah. Dia merasakan tidak selesa untuk berlutut seperti yang biasa dilakukan di gereja, lalu dia meletakkan lutut beserta wajahnya ke lantai. Dia bersujud!
Dan ketika dalam sujud itulah tangisannya menderu-deru sambil dia berdoa, memohon, merayu kepada Yang Maha Esa.

Dan apabila akhirnya dia mula menemui Islam, pada kali pertama dia pergi ke sebuah masjid untuk belajar tentang Islam dia diizinkan oleh imam untuk menyaksikan buat pertama kali bagaimana orang melakukan solat.
Berdiri, ruku' dan kemudian bersujud!
Bayangkan perasaannya ketika itu! Tubuhnya bergetar, airmatanya menitis sekali lagi, bahkan dia merasakan telah tiba di hujung jalan pulang.

Kemudian sekali lagi dia terkejut apabila mendapati bahawa sujudnya yang pertama di rumahnya dahulu sebenarnya dia telah menghadap ke arah kiblat!
Subhaanallah...Allah Yang Maha Memberi Petunjuk.

Kisah-kisah begini sering saya temui, yang mana manusia secara fitrahnya sentiasa mencari dan terus mencari. Juga betapa ruku' dan sujud merupakan satu pergerakan 'semulajadi' yang begitu mendamaikan hati dan jiwa manusia.
Kedamaian yang akan mengisi kekosongan jiwa.
Kedamaian anugerahNya Yang Maha Damai.

Baca kisahnya di sini.

No comments: