Wednesday, March 4, 2009

Jalan Singkat



(Tulisan ini ditulis bersempena tamatnya semester kedua di sebuah institusi pengajian awam di bumi Malaysia ini)


Banyak kemalangan jiwa berlaku akibat dari manusia mengambil jalan singkat. Menyeberangi landasan keretapi dan lebuhraya menjadi pilihan kebanyakan orang meskipun telah disediakan laluan khas yang selamat untuk mereka melintas. Benar, tidak semua orang menjadi korban ketika melintasi laluan berbahaya itu.
Bagi mereka yang melakukan perkara yang berbahaya ini, mereka mengambil risiko di atas nyawa mereka sendiri. Seringkali mereka memberi alasan jalan yang selamat itu terlalu jauh dan menyusahkan.

Manusia juga sering mengambil jalan singkat dalam kehidupan seharian dengan niat untuk mencapai sesuatu hajat yang diingini. Adakalanya ianya melibatkan perkara yang tidak dizinkan oleh Pencipta kita. Manusia tidak menyedari meskipun tubuh badannya sihat dan tegap, perlakuan dosa dan maksiat yang dilakukan sedang membunuh jiwanya secara perlahan.

Seorang peniaga mungkin secara tidak jujur memasukkan bahan terlarang ke dalam produk jualannya tanpa memikirkan sebarang kesan buruk terhadap pembeli. Meskipun begitu, sebelum kesan buruk itu mengenai kepada pembeli, tindakan peniaga itu terlebih dahulu telah memberi kesan buruk terhadap jiwanya sendiri.

Seorang pelajar mungkin atas kebimbangan berlaku kegagalan akan sanggup melakukan perkara yang dilarang sebagai 'usaha' untuk mencapai kejayaan.
Bagi seorang pelajar yang sedang menuntut ilmu (suatu tugas yang sangat mulia di sisi Allah), tindakan melakukan perkara terlarang itu sendiri telah memberi suatu kegagalan 'percuma' kepada dirinya.

Pelajar yang sedang menuntut ilmu yang mana tujuannya adalah untuk menjadi manusia yang lebih baik, lebih mulia, telah merosakkan niat murninya. Sebarang kejayaan yang dicapai dalam bentuk keputusan yang cemerlang tidak memberi sebarang makna kepada pembentukan jiwanya sendiri.
Jiwa menjadi semakin kotor akibat dari usaha yang tidak diredhai Allah.

Apabila kejayaan hanya dinilai dari segi CGPA yang tinggi, ianya membawa kebahagiaan yang sementara kerana ia hanya mampu bertahan untuk beberapa tahun selepas tamat pengajian.
Setelah memasuki alam pekerjaan, alam rumahtangga, CGPA tidak langsung menyumbang kepada keupayaan sesaorang untuk mencapai kebahagiaan.
Apatah lagi apabila CGPA itu dicapai melalui usaha yang tidak jujur.

Kejujuran merupakan fitrah manusia. Apabila fitrah itu dilanggar manusia sendiri yang akan menerima akibatnya. Apabila seorang pelajar berlaku tidak jujur dalam usaha memburu kejayaan, apapun pencapaiannya tidak akan mendamaikan jiwanya. Jauh disudut hati ia akan merasakan derita akibat melanggar fitrahnya sendiri. Penderitaan itu akan berterusan meskipun ia sendiri tidak memahami apa yang dideritakannya.

Kepada para pelajar di luar sana, ingatlah... sebagaimana jalan untuk melalui jejantas di atas landasan keretapi itu jauh dan menyusahkan, begitulah juga jalan yang harus dilalui oleh seorang penuntut ilmu.
Ilmu adalah milik Allah, ilmu adalah suci.
Bagaimana mungkin kita mendapatkan sesuatu yang suci melalui jalan yang kotor.
Meskipun kita berjaya mendapatkannya, ianya telah tercemar dan tidak akan membawa kepada kejayaan yang sejati, kebahagiaan yang sejati yang dicari oleh semua umat manusia.
Ianya tidak akan mendatangkan menafaat bahkan akan menghancurkan dirimu sendiri.

Kepada para pelajar di luar sana, sabarlah, tabahkanlah hati.. laluilah jalan yang sukar ini... kerana Allah tidak menilai sejauh mana kita berjaya, Dia hanya menilai sejauh mana kejujuran dan ketulusan hati kita ketika melalui jalan ini.
Kejayaan yang sebenar ialah apabila hatimu merasa damai, jiwamu tenteram dan dadamu terasa lapang kerana ketika melalui jalan mulia yang sukar ini dirimu tidak pernah melanggar fitrahmu sendiri. Semuga di akhir perjalananmu jiwamu merasa puas bahawa setelah bertahun menuntut ilmu, dirimu berjaya menjadi manusia yang lebih baik, manusia yang jujur, manusia yang rendah hatinya, walau berapapun nilai CGPA yang diperolehi.
Dan yang pasti dirimu akan dapat merasakan betapa manisnya sebuah perjalanan untuk menjadi manusia yang mulia, dan tidak ada sesiapa yang mampu menberi anugerah itu kecuali Dia Yang Maha Mulia, Pemilik segala kemuliaan.

Demi jiwa dan penyempurnaannya, Allah mengilhami jiwa kefasikan dan ketaqwaan, Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikannya, Dan sesungguhnya merugilah bagi yang mengotorinya.
( Asy-Syams:7-10)

No comments: