Kadang-kadang hidup ini terasa begitu panjang. Tetapi apabila kita cuba mengenang semula segala liku-liku kehidupan yang telah dilalui bertahun-tahun, semuanya bagaikan sebuah mimpi. Sesuatu yang sangat menggembirakan suatu ketika dahulu adakalanya sudah tidak bermakna langsung.
Dan apabila kita cuba menceritakan kisah hidup yang bertahun-tahun itu, tiba-tiba kita hanya mampu menceritakan dalam beberapa minit sahaja. Kisah bertahun-tahun itu menjadi sebuah cerita yang amat pendek.
Itulah dunia. Dunia yang menipu. Dunia yang semantara.
(Berikut ini adalah petikan dari kuliyah maghrib yang disampaikan oleh seorang ustaz)
Perumpamaan dunia itu antaranya ialah seperti sebuah mimpi. Semuanya yang indah mahupun yang buruk, hilang apabila kita terjaga dari mimpi itu.
Kita semua sedang bermimpi dan akan terjaga apabila kita dijemput oleh maut. Apabila kita berada di alam barzakh, segala yang kita miliki di dunia ini hilang, pangkat, harta, keluarga, sanjungan dan pujian manusia, semuanya lenyap.
Dunia juga ibarat seorang perempuan tua hodoh yang berhias dan berpakaian cantik menawan, yang dilihat dari belakang. Sesiapa yang melihat pasti terpesona dan ingin tahu tetapi apabila dia menoleh ke belakang dan terlihat wajahnya yang sebenar, akan kecewalah mata yang memandang.
Dunia umpama makanan yang lazat, enak dimakan tetapi akhirnya menjadi najis yang tidak berguna dan dilupakan. Segala kebendaan yang dikejar di dunia ini, makanan, pakaian, perabot yang mahal, akan berakhir di tempat longgokan sampah, terbiar, tidak memberi erti.
Dan akhirnya, ustaz mengingatkan, apabila kita melihat sebuah mahligai yang indah tersergam, begitu kagum kita melihatnya, maka lihatlah kepada penghuninya, mereka bukan semakin muda, bahkan semakin tua dimakan usia. Kematian jua yang sedang ditunggu oleh mereka.
Dunia...tiada yang kekal di sini.
Wahai diriku..
Janganlah hatimu terpaut dengan dunia ini.
No comments:
Post a Comment