Tuesday, October 13, 2009

Terima kasih Diatas Ketulusan Kalian


Alhamdulillah majlis 'Reunion' yang dirancang telahpun berjalan dengan lancar.
28 tahun yang lalu kami adalah pelajar tingkatan lima yang ditakdirkan berada di dalam satu kelas yang sama. Di situlah liku-liku perjalanan hidup kami dipertemukan Allah untuk selama hampir dua tahun menimba ilmu demi masa depan masing-masing.

Kini pada usia 45 tahun Allah mempertemukan kami sekali lagi, tetapi bukanlah secara kebetulan sahaja, ianya telah dirancang dengan sungguh-sungguh oleh beberapa orang insan yang begitu tulus hatinya.
Sudah tentulah pertemuan kami 28 tahun yang lalu juga bukan secara kebetulan, Allah lah yang merancang segala-galanya. Tetapi bezanya ialah pertemuan kali ini adalah semata-mata didasari oleh rasa persahabatan sejati yang tidak mengenal perbezaan latar belakang dan pencapaian peribadi. Mereka yang merancang pertemuan ini sesungguhnya tidak mempunyai sebarang kepentingan apa-apa, semuanya dilakukan semata-mata untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

Pertemuan di bulan Syawal ini menepati saranan ulama' yang mengatakan bahawa disamping menziarahi saudara mara, sebaik-baiknya di bulan ini kita menziarahi atau bertemu dengan insan-insan yang sudah lama terputus hubungan dengan kita.

Pertemuan istimewa ini kuyakini dirasakan amat bermakna dan begitu menggembirakan kerana semua yang terlibat begitu ikhlas menghadirkan diri. Tiada sebarang upacara rasmi yang merimaskan hanya pertemuan santai yang melapangkan hati dimana adab-adab pergaulan tetap terjaga di sulami gurau senda yang melucukan dan mengimbau kenangan lama zaman remaja yang penuh dengan 'keserabutan'.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, pada usia ini kami dikurniakan kematangan fikiran dan hati dalam menerima semua teman-teman sekolah ini seadanya. Setelah dipertemukan Allah untuk dua tahun di sekolah, masing-masing telah melalui jalan sendiri yang berbeza kerana setiap manusia telah disediakan Allah dengan ujian yang khusus baginya.
Masing-masing telah melalui pelbagai pengalaman pahit manis, suka duka dalam meneruskan pelajaran, membina kerjaya dan alam rumah tangga. Sudah pasti di celah-celah kejayaan yang dicapai, ada diantara kami yang pernah jatuh, mengalami luka dan kecederaan yang parah di sepanjang perjalanan ini. Disamping airmata kegembiraan tentu banyak juga airmata kedukaan telah dititiskan dalam kehidupan ini.

Secara pandangan kasar, meskipun kita boleh mengatakan dia ini lebih berjaya dari yang itu, namun pada hakikatnya ujian hidup ini belum selesai selagi kita masih bernafas. Belum masanya lagi untuk kita menentukan siapakah yang berjaya dan siapakah yang tidak berjaya, dan bukan manusia yang berhak menilai kejayaan kita.

Langkah-langkah kehidupan masih perlu diteruskan dan segala kekuatan harus terus dikumpulkan untuk mencari bekalan pulang ke alam yang abadi dimana segala usaha akan diadili oleh Yang Maha Adil.

Walaupun begitu, pertemuan ini telah menyaksikan bahawa setiap orang masih tetap tabah dan mampu tersenyum dan tertawa. Alhamdulillah..sesungguhnya hanya kepada Allah sahaja segala pujian dan syukur harus ditujukan di atas segala nikmat yang dikurniakan.

Di doakan semuga Allah memberikan ganjaran sebaik-baiknya kepada semua insan yang bertanggungjawab di dalam pertemuan ini. Yakinlah, malaikat telah mencatat segala kebaikan kalian untuk dihadapkan kepadaNya nanti.

Ya Allah
Ya Rahmaan
Ya Rahiim
Berkati lah persahabatan kami ini
Ya Ghaffar
Ampunkanlah dosa-dosa dan kesilapan kami
Ya Jaami'
Kumpulkan lah kami sekali lagi
Di suatu hari nanti dalam kegembiraan yang abadi
Amiin Ya Arhamarrahimiin..

1 comment:

eid izzaidah said...

salam madam...
xsgka madam juga alumni teknik jb.. saya juga :)
from : izzaidah