Friday, October 16, 2009

Benarkah Itu Adalah Cinta?

"Antara cinta dan keinginan untuk memiliki, tidak sama.."


Sebuah dialog di penghujung filem 'Ayat-ayat Cinta', sebuah filem yang diadaptasikan dari novelnya yang terkenal.

Dialog itu kedengaran begitu misteri dan sukar difahami. Bukankah setelah cinta itu hadir, secara nalurinya kita memang ingin memiliki sesuatu yang kita cintai itu?

Cinta adalah satu perkataan yang sering disalahertikan bahkan adakalanya disalahgunakan.

Berapa banyaknya insan yang kecundang diperjalanan hidupnya akibat 'cinta'? Ramai yang gagal memahami bahawa cinta adalah suci dan tidak ada kaitan langsung dengan perlakuan maksiat.
Cinta yang suci hanya difahami oleh insan yang tulus hatinya dan tidak akan sanggup menodai kesucian hatinya sendiri.

Seringkali kita mengalami perasaan ingin memiliki sesuatu yang kita cintai. Hati dan jiwa ini harus dididik dengan sungguh-sungguh bahawa mencintai tidak sama dengan memiliki. Bahkan adakalanya mencintai bererti membebaskan sesuatu yang kita miliki, kerana kita hanyalah pemilik sementara.

Apa saja yang kita 'miliki' didunia ini tidaklah kekal. Suatu hari ianya akan pergi, hilang atau kembali ke tempat asalnya. Apakah yang kita 'miliki' di dunia ini? Ayah, ibu, keluarga, harta, kesihatan, pangkat yang tinggi, bahkan tubuh badan kita sendiri.. itu semua akan hilang.

Seorang ibu yang sudah pasti amat mencintai anaknya harus memahami bahawa anaknya itu bukan miliknya. Justeru, si ibu tidak mempunyai pilihan selain menjaga dan memelihara anaknya mengikut panduan Pemiliknya yang sebenar.
Seorang ibu yang memupuk semangat jihad dihati anak-anaknya amat memahami siapa pemilik sebenar anak-anak itu. Ia sangat memahami untuk apa anak-anak itu dilahirkan dari rahimnya, bukan untuk dimiliki tetapi untuk dididik agar sama-sama mengenal dan mencintai Pemiliknya. Dan ibu itu merindukan hari bahagia dikala anak-anak itu kembali kepada Pemiliknya dengan lumuran darah perjuangan mengejar cinta yang abadi. Lapang hatinya kerana tugas dan amanah berat yang ditanggungnya selama ini telah selesai, insan yang dipinjamkan telahpun dikembalikan kepada Pemilik yang asal.

Nabi Ibrahim AS, ketika menyembelih anaknya sendiri telah mengajarkan kepada kita apakah itu cinta yang sebenar.
Mungkin inilah gambaran luahan hati insan agung itu, insan pembina Kaabah yang mulia itu, bapa kepada para nabi itu..
Anakku..
memang aku mencintaimu, sangat mencintaimu..
bertahun lamanya aku menunggu kelahiranmu,
namun kemudian kau kutinggalkan di padang pasir yang tandus,
kini aku kembali hanya untuk menyembelihmu..dengan tanganku sendiri..
aku sangat mencintaimu, tetapi aku tidak berhak memilikimu,
kerana kau sudah dimiliki, kau dan aku dimiliki oleh Pemilik yang sama,
dan Pemilik itu sangat mencintaimu..
dan aku lebih mencintai Pemilikku..
inilah bukti Cinta kita kepadaNya


Sebarkanlah cinta dan kasih sayang dengan ikhlas kepada semua, namun sentiasalah ingat bahawa setiap yang dicintai itu bukan untuk dimiliki, kerana semuanya telah mempunyai pemiliknya.
Sesungguhnya kita tidak memiliki apa-apa di dunia ini. Dunia ini sudah ada pemiliknya.
Jangan cintai apa yang kita miliki, dan jangan cuba memiliki apa yang kita cintai.
Cintailah DIA, Pemilik kita, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mulia, Maha Agung
Yang kekal abadi.

No comments: