Sunday, September 6, 2009
Ramadhan Yang Kudambakan
Telah berlalu lima belas hari dari bulan penuh barakah ini. Malam tadi sang rembulan purnama yang bersinar di sebalik lapisan awan tipis saolah-olah mengingatkan manusia bahawa ia akan terus beredar tanpa henti dan Ramadhan yang mulia ini akan berakhir.
Betapa ramainya manusia yang memenuhi rumah-rumah Allah, rukuk dan sujud memohon keampunan dan kasih sayang dariNya. Manusia soleh yang rendah hatinya begitu tekun mnghidupkan malam, menitiskan air mata di hadapan Rabbul Jalil, memohon belas kasihan dari yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang agar hidupnya tak sia-sia, amalannya diterima, dan dosanya diampunkan.
Manusia seperti ini ada di mana-mana, di siang harinya mereka mungkin berada di sebuah rumah usang di hujung perkampungan kecil, atau di tengah kota raya di ruang pejabatnya yang luas, atau di tengah sawah ladang yang menghijau melafazkan zikir sambil membanting tulang yang semakin lemah, atau di gedung perniagaan yang berdiri megah ia melafazkan lafaz syukur setiap saat, bahkan mungkin di dalam sebuah rumah yang dipenuhi dengan keriuhan anak-anak kecil si ibu melayani kenakalan anak-anak sambil beristighfar.
Namun ramai juga manusia yang tidak menyedari akan kehadiran bulan yang indah ini. Tidak menyadari bahawa pintu langit sedang terbuka, pintu neraka tertutup rapat, para malaikat bertebaran dan syaitan diikat. Perjalanan hidup mereka seperti biasa sahaja, tiada apa yang istimewa. Mungkin mereka berpuasa, menahan lapar dan dahaga sekadar untuk meneruskan kebiasaan setiap tahun. Di malam hari mengunjungi rumah Allah, rukuk dan sujud dalam keletihan, namun jiwanya kosong, hatinya tetap angkuh dan sombong, tetap beramal untuk menunjukkan bahawa dirinya seorang yang taat kepada perintah Allah meskipun hatinya tidak sabar menanti berakhirnya bulan yang meletihkan ini.
Ramadhan, sebuah bulan suci yang kesuciannya hanya disadari oleh jiwa yang tunduk kepadaNya, hanya disadari oleh hati yang ikhlas mencari keredhaanNya.
Ya Allah
Ya Rahmaan
Ya Rahiim
KepadaMu kuserahkan segala urusanku pada hari ini
Bimbinglah hatiku
Bimbinglah lisanku
Bimbinglah fikiranku
Bimbinglah setiap langkan kakiku
Bimbinglah mata hatiku
Agar sentiasa menyadari
Bahawa hidupku ini hanya sementara
Bahawa dunia ini hanya ujian
Sinarilah jalan hidupku
Agar tidak sesat dalam mencariMU
Amiin..ya Arhamarrahimin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment