Thursday, September 24, 2009
Meneruskan Perjalanan
Ramadhan yang penuh barakah itu telah berlalu. Latihan spiritual itu telah tamat. Kini tiba masanya mengharungi perjuangan sengit menentang musuh di dalam diri sendiri.
Jiwa dan ruh yang telah melalui latihan di bulan suci itu seharusnya telah semakin merunduk kepada keagungan dan kebesaran Penciptanya.
Sesungguhnya perjuangan ini amat panjang dan memerlukan kesabaran. Kesabaran melakukan ketaatan dan kesabaran menjauhi larangan. Jalan yang harus dilalui sangat mengelirukan, jalan ke syurga kelihatan begitu sukar dan menyusahkan sedangkan jalan ke neraka amat indah, penuh dengan kenikmatan dan keselesaan.
Hanya kepadaNya harus dipohonkan agar diberikan mata hati yang mampu melihat jalan-jalan yang sebenarnya bakal membawa kebahagiaan yang hakiki.
Hanya kepadaNya harus dipohonkan agar diberikan kekuatan menempuh jalan sukar ini kerana Dia tidak menjanjikan kebahagiaan di sini, tetapi di sana nanti.
Di sini adalah tempat ujian. Secara lumrahnya, ujian itu akan melalui tempoh yang singkat, dan semakin tinggi markah yang ingin dicapai, semakin beratlah bentuk ujian itu. Oleh kerana ini adalah ujian, kita tidak berhak mempersoalkan mengapa begitu dan tidak begini, kita hanya perlu bersabar dan bersabar sehingga tamat ujian ini.
Dan akhirnya apabila selesai ujian, keputusan akan diumumkan, para pemenang akan disambut dan diraikan untuk mendapatkan ganjaran hadiahnya dengan ucapan,
"Salaamun alaikum bimasobartum.."
Sejahteralah atas kamu di atas kesabaranmu.
Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Assalamualaikum madam..sgt bersetuju dgn article ni.Semakin berat ujian itu, InsyaAllah semakin tinggi markah yg diperoleh. Xde sape yg ckap ujian itu mudah, Tapi kite kan ade Allah..=)
Post a Comment