Banyak bunga mawar sedang berkembang di luar rumah. Baunya harum, rupanya cantik, warnanya merah jambu muda. Bunga mawar jenis ini bersaiz kecil tetapi mekar dalam satu jambak yang mengandungi beberapa kuntum.
Cantiknya...beberapa jambak bunga mawar kini sedang menghiasi taman kecil di bahagian belakang rumah.
Semasa kecil dulu penulis pernah mengimpikan untuk berada di sebuah taman yang luas dipenuhi bunga-bunga yang harum, terutamanya bunga mawar.
Ketika berusia 18 tahun, impian itu menjadi nyata apabila penulis melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bandar kecil yang kami duduki bergelar 'Bandar Mawar'. Setiap tahun diadakan festival bunga mawar. Pelbagai species, kecil, besar, pelbagai warna dan bentuk.
Setiap hari perjalanan menuju ke sekolah selama 20 minit berjalan kaki akan melalui sebuah taman yang di penuhi dengan bunga mawar. Keharumannya sudah boleh dinikmati dari jauh lagi. Sebuah pengalaman indah yang cukup membahagiakan dan tidak mungkin dapat dilupakan. Subhaanallah...
Kini pada usia dewasa penulis mengimpikan untuk tinggal di sebuah kediaman dikelilingi taman yang indah. Namun sebuah taman yang indah memerlukan pemeliharaan dan penjagaan yang rapi. Di dunia ini tidak ada taman yang boleh wujud tanpa penjagaan.
Taman indah yang boleh dinikmati tanpa penat lelah menguruskan penjagaannya hanya wujud di alam abadi.
Itulah nikmat yang sejati.
Ya Rahman...Ya Rahim...
Hamba yang hina dina ini memohon rahmatMu...
Sungguh hambaMu ini tidak layak...namun...
Izinkan impianku menjadi nyata sekali lagi...Amiin..
No comments:
Post a Comment