Sunday, December 7, 2008

Cinta Abadi

"Kita semua adalah saudara, sama-sama berjuang untuk DIA yang kita cintai...dan sekiranya suatu hari nanti ada di antara kita yang harus pergi dahulu menemuiNYA, kita semua harus menghantarnya...kita hantar dia pulang, pulang menemui DIA..."

Kata-kata itu begitu meruntun jiwa, menggegarkan nurani. Lalu kami semua terdiam membisu, kehilangan kata-kata. Air jernih mula tergenang di mata. Betapa aku sedar bahawa kematian itu adalah pasti. Ia pasti datang menjemput kami suatu hari nanti. Pasti.
Aku harus bersedia untuk pergi. Pergi menemui DIA.

Urusan di dunia ini begitu meletihkan. Hidup ini menuntut usaha mencari bekalan kerana perjalanan ini masih jauh dan panjang. Namun dunia ini juga amat melalaikan. Seringkali aku lupa mengapa aku berada di sini. Terlupa bahawa aku harus mencari bekalan dan waktu yang diperuntukkan begitu singkat. Alangkah susahnya mendidik jiwa dan hatiku supaya sentiasa ingat, jangan leka, jangan lalai...kerana waktu terus berjalan.

Hari ini salah seorang saudaraku telah pergi menemuiNya. Betapa sayunya laungan takbir Hari Raya di rumah keluarganya malam ini. Namun inilah realiti kehidupan. Masa untukku juga pasti tiba nanti.

Sesungguhnya Hari Raya Korban ini mengimbas kembali pengorbanan dua insan agung yang telah membuktikan bahawa cinta di hati hanyalah untukNya. DIA tidak boleh disekutukan dengan sesiapa...biarpun keluarga sendiri. Kerana suatu hari nanti semuanya akan pergi, semuanya akan hilang. Namun yang tetap ada di sisimu adalah DIA yang Maha Penyayang dan kekal abadi.

Cintamu pada manusia adalah semula jadi,
Tetapi, cintamu pada DIA adalah ABADI.